Perutusan Pengarah

 

 

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulillah, usaha untuk membangunkan laman sesawang IKM Sik adalah satu inisiatif dan tindakan proaktif daripada pengurusan IKM Sik bagi menjadikan IKM Sik sebagai organisasi amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa dalam menerajui bidang keusahawanan pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera berpaksikan moto MARA “ Keusahawanan & Pendidikan Global”.

Tahun ini adalah tahun yang penuh cabaran dan menjadi titik permulaan bagi pelbagai usaha untuk penambahbaikan di IKM Sik ini. Penambahbaikan ini adalah untuk meningkatkan nilai murni dalam perkhidmatan yang menerapkan konsep sentiasa berfikiran positif dalam kalangan staf dan juga pelajar.

Peningkatan prasarana di tempat kerja bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kesihatan pekerja seperti yang diwartakan dalam pekeliling perkhidmatan dan kesihatan. Hal ini bagi memastikan keselesaan pekerja berada di tahap yang optimum serta dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya agar IKM Sik terus bangun sebagai institusi yang berteraskan kemahiran terunggul di negara ini.

Selain daripada prasarana, pembangunan modal insan dan penerapan nilai kerohanian juga diterapkan dalam amalan seharian warga IKM Sik. Umpamanya amalan bersedekah dan majlis bacaan Yassin. Aktiviti-aktiviti ini amat digalakkan justeru ia mendatangkan manfaat, selain daripada dapat menyucikan hati, amalan ini dapat merapatkan hubungan persaudaraan antara umat Islam serta warga IKM Sik secara khususnya. Pembudayaan pembacaan dalam kalangan warga pendidik dan staf turut diterapkan sebagai pendorong kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

 Saya juga ingin menyarankan agar warga IKM Sik tidak jemu untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, tahap profesionalisma masing-masing bagi memperkukuhkan semangat kerja gigih yang telah menjadi teras IKM Sik selama ini.

Saya mengalu-alukan pandangan yang membina untuk memantapkan lagi pengurusan maklumat dan kemudahan yang disediakan ini. Selamat melayari portal kami.

Sekian, Wassalam

 

Hj Idris Bin Hj Alias
Pengarah,
Institut Kemahiran MARA,
Sik,Kedah.